• Pihak yang terlibat dalam pengurusan bangunan bertingkat seperti badan pengurusan seharusnya mempunyai pengetahuan yang secukupnya bagi menjalankan peranan masing-masing.

KUALA LUMPUR (Nov 8): Pesuruhjaya Bangunan (COB) perlu memainkan peranan dan segera menyelesaikan isu-isu, terutamanya ketirisan, membabitkan perumahan strata di negeri Selangor.

Pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat sering menerima aduan penduduk mengenai ketirisan membabitkan unit-unit pangsapuri, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri  Ng Sze Han pada sidang media Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama 2022 yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata ketirisan membabitkan unit-unit tingkat atas dan bawah adalah antara aduan yang sering diterima, selain pengubahsuaian yang dilakukan tanpa kelulusan di kawasan hak milik bersama.

“Berkaitan dengan itu, COB perlu memainkan peranan menyelesaikannya dengan memanggil semua pihak berkaitan,” tegasnya.

Simposium anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) itu bertujuan memberi pemahaman yang lebih baik mengenai cara kerja pengurusan strata, termasuk aspek perundangan dan kewangan, bagi ahli jawatankuasa pengurusan, wakil agensi kerajaan dan firma pengurusan hartanah, dan untuk membantu menyemai rasa tanggungjawab di kalangan pengurusan untuk bertindak segera dalam sebarang perkara yang berkaitan dengan skim strata mereka.

Ng berkata pengurusan strata menjadi semakin penting kerana peningkatan bilangan pembangunan strata di negara ini.

“Pembangunan berasaskan strata telah menjadi lebih biasa di kawasan bandar mahupun pinggir bandar seperti Kuala Selangor,” kata Ng.

Pihak yang terlibat dalam pengurusan bangunan bertingkat seperti badan pengurusan seharusnya mempunyai pengetahuan yang secukupnya bagi menjalankan peranan masing-masing.

“Simposium ini diharap menjadi medium terbaik dalam memberi pendedahan dan pengalaman kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bangunan strata, serta perkongsian kaedah dalam menyelesaikan masalah strata di kawasan masing-masing,” kata Ng.

Turut hadir pada simposium yang menarik 130 peserta itu ialah Yang Dipertua MPKS Rahilah Rahmat dan Ketua Unit COB MPKS Muhammad Zul Fiqah Omar.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan oleh pakar pengurusan strata dalam simposium ini: Tribunal Pengurusan Strata (Proses dan Cabaran) oleh timbalan pengerusi Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata Abdul Rani Megat Kassim; Tribunal Pengurusan Strata (Isu dan Kes Semasa) oleh peguam Datuk Pretam Singh Darshan Singh; Get My Titles! oleh pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTGS) Selangor Aziz Hairon; dan Pemerkasaan Penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata 2013 oleh Penolong Pengarah Kanan COB Jabatan Majlis Bandaraya Subang Jaya Intan Rozlina Hani.

SHARE
RELATED POSTS
  1. Perumahan kos rendah boleh memohon insurans pangsapuri di bawah kerajaan negeri Selangor
  2. COB must be more proactive in solving strata building problems, especially leakage – Ng Sze Han
  3. Illegal factories urged to take advantage of incentives before deadline