• Muhazrol Muhammad ialah Ejen Hartanah Berdaftar yang kini berkhidmat dengan IQI Realty Sdn Bhd sebagai Ketua Segmen Bumiputera dan peneraju pasukan iRealty.

“Saya akan menjadi panduan anda ke salah satu pasaran hartanah paling dinamik di dunia.”

Petikan itu, dari halaman Muhazrol Muhammad di portal IQI Global, menunjukkan keyakinannya terhadap industri hartanah di Malaysia. Beliau memegang portfolio jualan di pasaran utama dan subsale di kawasan-kawasan selatan Lembah Klang.

Muhazrol ialah Ejen Hartanah Berdaftar yang kini berkhidmat dengan IQI Realty Sdn Bhd sebagai Ketua Segmen Bumiputera dan peneraju pasukan iRealty.

Muhazrol kini telah berkecimpung dalam industri hartanah selama 12 tahun, bermula dengan sebuah agensi yang berpusat di Bangi pada tahun 2010.

Berkongsi mengenai sebab memilih bidang ini, Muhazrol berkata beliau menceburi dunia hartanah untuk mendapatkan kestabilan kewangan.

“Saya telah membuat beberapa kesilapan dari segi kewangan dan dibebani dengan komitmen bulanan yang tinggi. Jadi, pada masa itu, saya sedang mencari penyelesaian kepada isu tersebut,” katanya.

Beliau diperkenalkan ke industri ini oleh seorang rakan dan berjaya membuat jualan ulung beliau pada janji temu pertama!

“Ketika itulah saya membuat keputusan untuk ‘megahwini’ industri ini dan masih aktif sehingga kini,” katanya.

Dengan pengalaman terdahulu dalam bidang jualan dan pemasaran, Muhazrol menyedari dia mempunyai potensi besar dalam industri ini.

“Seperkara lagi saya dapati industri ini boleh menawarkan penyelesaian pantas untuk keperluan kewangan saya dengan modal atau kos kemasukan yang rendah. Jadi, itu sebabnya saya kekal,” katanya.

Berkongsi pengalaman jualan pertamanya, Muhazrol berkata dia berjaya mendapatkan penyenaraian dalam talian milik seorang rakan, dan terus menetapkan temu janji dengan pembeli.

“Ia adalah rumah kos sederhana dua tingkat di Kajang … rumah itu sebenarnya tidak berada dalam keadaan baik, tetapi saya percaya harga yang ditawarkan adalah bagus, dan dengan sedikit pembaikan dan pengubahsuaian, ia boleh menjadi tawaran yang baik untuk pembelinya.

“Jadi, semasa viewing, saya menumpukan kepada faedah dan kefungsian hartanah itu. Saya juga mencetuskan imaginasi mereka (dan) memberitahu mereka bagaimana rupa rumah tersebut apabila mereka melakukan pengubahsuaian … dan kemudian saya tinggalkan pasangan itu di dalam rumah untuk mereka berbincang. Akhirnya, mereka keluar dengan keputusan untuk membeli hartanah tersebut,” katanya.

Muhazrol, yang juga timbalan presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM) dan ahli Jawatankuasa Amalan Agensi Hartanah bagi Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah & Pengurus Harta Malaysia (BOVAEAP), berkata beliau sentiasa melihat penolakan sebagai satu perkara yang baik.

“Saya sentiasa melihat penolakan awal [dari bakal pembeli] sebagai perkara yang baik kerana ia adalah petanda bahawa mereka memahami tentang hartanah itu. Jadi, berdasarkan penolakan atau bantahan itu, saya akan cuba mengubah persepsi mereka untuk akhirnya membeli hartanah itu.

“Apa yang saya lakukan ialah, saya akan berusaha untuk memahami sebab-sebab penolakan mereka, kemudian saya akan menawarkan penyelesaian, dan kemudian ke perkara seterusnya," kongsinya.

Mengatasi cabaran

Mengulas tentang cabaran dalam industri, beliau berkata pemasaran adalah cabaran terbesar, dan dalam masa 12 tahun ini, kos pemasaran telah meningkat dengan begitu banyak dan menjadi begitu rumit dan memakan masa.

“Tetapi, terima kasih kepada EdgeProp, yang menawarkan pakej mampu-milik dengan hasil yang terbukti, kami boleh memanfaatkan jenama itu dan pelanggan yang sedia ada,” katanya.

Tambah beliau, ejen IQI Realty boleh menikmati kerjasama pemasaran yang ditawarkan oleh EdgeProp, di mana ejen hanya perlu menyiarkan penyenaraian mereka di salah satu platform dan menikmati kebaikan daripada kedua-dua platform.

Beliau berkata, semasa Perintah Kawalan Pergerakan pertama, industri dan kerjayanya menjadi terbantut, memandangkan tumpuannya ialah subsale.

“Saya benar-benar tidak dapat berbuat apa-apa … jadi kami lebih menumpukan pada meningkatkan pengetahuan kami dari segi pemasaran, teknologi dan banyak perkara lagi,” kata Muhazrol.

Mereka juga banyak menghabiskan masa dengan pembelajaran semasa tempoh tersebut, serta berkongsi pengetahuan hartanah mereka, yang banyak membantu meningkatkan profil syarikat mereka di pasaran.

Sebagai jurulatih bertauliah HRD Corp (Pembangunan Sumber Manusia Bhd) dan perancang kewangan Islam, Muhazrol telah mewujudkan seminar dalam talian untuk pasaran hartanah dan kewangan sejak beberapa tahun lalu.

Mengulas mengenai keadaan pasaran semasa, Muhazrol berkata laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan indeks harga rumah Malaysia hanya meningkat 0.5% berbanding tahun lepas dan menurun 1.2% berbanding suku-tahun sebelumnya, yang menunjukkan pasaran didominasi oleh kuasa pembeli dan harga tidak ditentukan sepenuhnya oleh pembekal.

“Memandangkan kadar inflasi semakin meningkat di Malaysia, saya percaya permintaan terhadap hartanah di Malaysia akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, tetapi peningkatan semula OPR (kadar dasar semalaman) BNM (Bank Negara Malaysia) akan memberi sedikit rintangan kepada peningkatan tersebut,” katanya.

SHARE
RELATED POSTS
  1. Malaysia open to extend ECRL to Thailand, says Loke
  2. Fadillah: Govt aiming to spur residential solar PV installation via Solaris
  3. OCR Group tops out The Mate at Damansara Jaya with 80% take-up