• Terdapat peningkatan dalam isu ketirisan antara tingkat.
  • Tuntutan melalui TPS adalah sangat mudah, cepat dan murah.

KUALA LUMPUR (Nov 24): Daripada enam jenis-jenis tuntutan lazim dalam Tribunal Pengurusan Strata (TPS), 80% adalah berkaitan dengan kutipan atau bayaran, termasuk caj penyenggaraan dan caruman; hutang dan faedah; dan syer unit.

Menurut Timbalan Pengerusi Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS), Abdul Rani Megat Kassim, jenis-jenis tuntutan TPS yang lazim adalah kutipan atau bayaran; isu berkaitan mesyuarat; undang-undang kecil atau by-law; perkara berkaitan pesuruhjaya bangunan; kerosakan; dan operasi pengurusan.

“Daripada isu-isu tuntutan lazim, 80% adalah berkenaan kutipan bayaran, 10% berkaitan mesyuarat ... lebih kurang 10% dalam operasi pengurusan, dan juga sekarang ada peningkatan dalam ketirisan antara tingkat,” ujar beliau semasa pembentangan kertas bertajuk Tribunal Pengurusan Strata (Proses dan Cabaran) di Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hanya RM100 untuk memfail tuntutan

Abdul Rani menjelaskan secara menyeluruh berkenaan TPPS dan isu-isu tugas dan kuasa pemaju perumahan, badan pengurusan, dan ahli jawatankuasa dalam pengurusan strata.

“Bidang kuasa TPS adalah mendengar dan menentukan apa-apa tuntutan yang diperuntukkan pada Bahagian 1 Jadual Keempat, Akta 757; tuntutan tidak melebihi RM250,000; dan tiada had masa,” Abdul Rani berkata.

Beliau berkata Jadual Keempat dalam Akta 757 merangkumi senarai 14 pertikaian dan isu-isu yang boleh dikemukakan ke TPS.

Menurut TPS, terdapat lapan pihak yang berhak memfailkan tuntutan atau mempunyai locus standi – pihak berkepentingan, agen pengurusan, pemaju, pemilik petak, pembeli, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan (MC) dan sub-MC. 

“Pihak berkepentingan inilah yang menjadi isu, kerana kadang-kadang individu mewakili pihak-pihak lain seperti suami atau isteri, di mana ini tidak dibenarkan sebagai suatu peraturan am. Hanya peguam yang dibenarkan untuk mewakili pihak tersebut,” kata Abdul Rani.

Abdul Rani juga menjelaskan berkenaan proses tuntutan di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan TPS.

“Proses tuntutan adalah sangat mudah, cepat dan murah … di mana pemfailan hanya RM100,” kata beliau.

Menurut Abdul Rani, pihak yang menuntut (PYM) hanya memfailkan Borang 1 (Penyataan Tuntutan) dengan menyatakan fakta, iaitu isu yang terlibat yang membawa pihak tersebut ke TPS.

“Selepas itu, kita akan berikan Borang 4 (Notis Pendengaran) kepada PYM... tarikh pendengaran ditetapkan selepas Borang 4 disahkan,” kata beliau.

Abdul Rani berkata pihak-pihak yang terlibat boleh terus membincangkan kes masing-masing tentang isu-isu yang berkenaan, melainkan isu-isu yang melibatkan fakta, di mana saksi-saksi diperlukan untuk membuktikan kesahihan fakta.

“Selepas itu baru meraka boleh membuat keputusan yang sewajarnya,” katanya.

TPS akan mengeluarkan Award Selepas Pendengaran (Borang 11) berdasarkan penilaian fakta dan undang-undang yang terlibat, dan sekiranya terdapat persetujuan antara kedua-dua pihak, TPS akan mengeluarkan Award Dengan Persetujuan (Borang 6).

Jika salah satu PYM atau penentang tidak hadir pada tarikh pendengaran dan suatu award dikeluarkan oleh TPS terhadap PYM atau penentang tersebut, PYM atau penentang tersebut boleh memohon untuk mengetepikan award tersebut.

Permohonan untuk mengetepikan award tersebut boleh dibuat dengan memfailkan Permohonan Untuk Mengenepikan Award (Borang 16) dalam tempoh 30 hari dari tarikh award tersebut diserahkan kepada PYM atau penentang tersebut.

Award (keputusan) yang dikeluarkan oleh TPS adalah muktamad dan mengikat semua pihak kepada prosiding kes tersebut. Sekiranya terdapat keingkaran award, pihak yang terkilan perlu memberi notis ingkar award kepada TPS.

Setiausaha TPS kemudian akan menghantar suatu salinan award yang dibuat oleh PYM itu kepada Mahkamah Majistret atau Mahkamah Sesyen dan award tersebut akan direkodkan di Mahkamah Sivil berkenaan, dan TPS akan menyerahkan award tersebut kepada pihak yang terkilan setelah menerima kembali award berkenaan.

Memupuk rasa tanggungjawab di kalangan pengurusan strata

Simposium itu, yang julung kali dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor, menyasarkan pemain industri hartanah tempatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pemahaman berkaitan pengurusan strata kepada ahli-ahli jawatankuasa pengurusan, wakil agensi kerajaan dan firma pengurusan hartanah dalam membantu meningkatkan kefahaman dalam pembangunan strata dari perspektif perundangan dan kewangan, dan menanam rasa tanggungjawab dalam kalangan pengurusan untuk bertindak dalam setiap perkara berkaitan dengan skim strata.

Kertas kerja lain yang turut dibentangkan oleh pakar-pakar pengurusan strata adalah Tribunal Pengurusan Strata (Isu dan Kes Semasa) oleh peguam Datuk Pretam Singh Darshan Singh; Get My Titles! oleh Aziz Hairon dari Pejabat Tanah dan Galian Selangor; dan Pemerkasaan Penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata 2013 oleh Intan Rozlina Hani, penolong pengarah kanan, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan di Majlis Bandaraya Subang Jaya.

SHARE
RELATED POSTS
  1. YNH says it has remedied 'technical default' involving sukuk programme
  2. S P Setia to launch Casaville single-storey bungalows at Setia Ecohill
  3. IQI expands to Indonesia with opening of IQI Unreal Bali